Home Semasa Hukuman sedia ada terhadap pemandu mabuk masih memadai – Menteri Pengangkutan

Hukuman sedia ada terhadap pemandu mabuk masih memadai – Menteri Pengangkutan

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 11 JUL – Kementerian Pengangkutan berpandangan bahawa pindaan sedia ada membabitkan pemandu mabuk adalah memadai untuk menjadi halangan dan pengajaran kepada pesalah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loe berkata, pihak kementerian telah pun menguatkuasakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan (1987) mulai 23 Oktober 2020 lalu.

“Sejak berkuatkuasanya pindaan akta tersebut, hukuman yang lebih berat telah diperuntukkan termasuk meningkatkan kadar denda, tempoh penjara dan menjadikan hukuman penjara sebagai mandatori bagi jenis-jenis kesalahan tertentu termasuk kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Sebagai contoh, Seksyen 44 (memandu semasa di bawah pengaruh minuman yang memabukkan / dadah / dan menyebabkan kematian) telah memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimumRM50,000 sehingga RM100,000,” katanya.

Loke berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad berhubung langkah-langkah membendung kes kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol.

“Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000.

“Bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan pula, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Tambahnya beliau, pindaan hukuman ini bertujuan menjadikan ianya satu bentuk deterrence dan memupuk kesedaran kepada orang ramai ke atas pematuhan undang-undang.

“Kementerian Pengangkutan akan terus bekerjasama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM untuk memperkasakan kempen dan advokasi serta mengukuhkan aktivitiaktiviti penguatkuasaan di seluruh negara.

“Kami juga menyeru pihak yang berkepentingan termasuk lain-lain agensi Kerajaan, NGO dan pengusaha premis minuman atau makanan untuk bekerjasama dalam membantu melaksanakan kempen dan pendidikan kepada orang ramai berhubung kesalahan dan akibat memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah,” katanya. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Semasa

Related Articles

Leave a Reply