Home Pertahanan dan Keselamatan Faedah hilang upaya veteran tidak padan dengan ekonomi semasa

Faedah hilang upaya veteran tidak padan dengan ekonomi semasa

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 11 JUL – Pihak kerajaan mengakui Faedah Hilang Upaya (FHU) yang diterima anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang cedera semasa bertugas adalah tidak sepadan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menyedari hakikat bahawa kadar pembayaran FHU yang diguna pakai sekarang telah lapuk dan nilainya tidak sepadan dengan keadaan ekonomi semasa.

“Kementerian telah menyemak kesemua kadar-kadar tersebut dengan mengambil kira semua komponen FHU iaitu Pencen Hilang Upaya, Ganjaran Hilang Upaya, Elaun Pelajaran dan Elaun Layanan Sentiasa.

“Semua komponen FHU ini telah disemak semula dengan menambahbaik syarat dan penambahbaikkan kadar mengikut formula ‘Time Value of Money’,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor tentang status terkini Pelarasan Pencen Hilang Upaya ke atas anggota veteran yang cedera semasa bertugas terutama semasa operasi menentang pengganas komunis di zaman darurat.

“Kementerian telah menyediakan draf Memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan tersebut dan akan diedarkan kepada Agensi-agensi Pusat bagi mendapatkan ulasan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Semua penerima pencen hilang upaya akan menerima bayaran mengikut kadar baharu yang akan diluluskan oleh Jemaah Menteri kelak,” ujarnya.

Justeru, Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dan komited dalam memperkasakan kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM termasuklah mereka yang sedang menerima pencen hilang upaya sama ada yang cedera dan hilang upaya semasa operasi menentang pengganas komunis di zaman darurat. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #Veteran

Related Articles

Leave a Reply