Home Semasa Operasi pembenihan awan tingkat paras air Sungai Kelantan – Mohamad Sabu

Operasi pembenihan awan tingkat paras air Sungai Kelantan – Mohamad Sabu

by Nurulhuda

SUBANG, 23 JUN – Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan adalah bagi meningkatkan paras air sungai di negeri itu.

Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, OPA itu dilakukan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KPKM, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Operasi ini bertujuan untuk meningkatkan paras air Sungai Kelantan agar dapat mengairi kawasan-kawasan pertanian yang terjejas ketika ini,

“Semoga inisiatif dari Kerajaan Persekutuan ini dapat membantu para petani dan pesawah yang terjejas ketika ini,” jelasnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, OPA merupakan satu proses untuk menggalakkan pembentukan awan hujan.

Tambahnya, terdapat 2 kaedah yang digunakan dalam OPA, iaitu pembenihan basah dan pembenihan kering.

“Pada pembenihan basah, larutan air garam dicampur dan disemprotkan ke awan untuk merangsang pembentukan titisan hujan,

“Manakala pada pembenihan kering, serbuk garam diterbangkan ke awan untuk tujuan yang sama,” ujarnya lagi.

Bermula semalam, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menghantar sebuah pesawat pengangkut C-130H bagi melaksanakan OPA di ruang udara Kelantan.

Jelas TUDM, misi OPA yang akan dilaksanakan selama 3 hari itu adalah bagi menangani impak El Nino yang memberi kesan kepada sektor tanaman di negeri Kelantan.

Kerja-kerja OPA bermula dengan proses bancuhan air garam oleh pihak MET Malaysia dan TUDM sebanyak 4 tong dengan muatan 1000 liter setiap tong sebelum dimasukkan ke dalam pesawat C130H, No 20 Skuadron.

“Kemudian, pesawat diterbangkan oleh Pegawai Memerintah No 20 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly Abu Bakar TUDM, bersama 8 anak kapal yang lain.

Penerbangan ini turut disertai oleh petugas MET Malaysia, NADMA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA),” jelas TUDM. -airtimes.my

#TUDM #pembenihanawan #Malaysia #KPKM #Nadma

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!