Home Semasa Kontena Israel: Hanya transit, tiada pergerakan dagangan ke dalam Malaysia – JKDM

Kontena Israel: Hanya transit, tiada pergerakan dagangan ke dalam Malaysia – JKDM

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 5 JUN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor mengesahkan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel yang didakwa berada di pelabuhan sekitar Iskandar Puteri merupakan kontena muatan pindah kapal (transhipment).

Pengarah JKDM Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, transhipment kontena tersebut adalah proses pergerakan barang yang dibenarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

“Pihak berkuasa pelabuhan berkaitan telah mengesahkan bahawa kontena tersebut merupakan kontena muatan pindah kapal (transhipment) iaitu satu proses pergerakan barang yang dibenarkan oleh MOT,

“Sebagaimana proses transhipment biasa, kargo akan bergerak dari pelabuhan berlepas ke pelabuhan destinasi melalui pelabuhan ketiga dalam jadual perjalanan dan kontena tersebut akan transit (sementara) di pelabuhan ketiga dan akan ke destinasi seterusnya (negara lain),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Aminul Izmeer berkata, hasil semakan turut mendapati tiada pergerakan dagangan ke dalam Malaysia sama ada melalui pintu keluar atau pintu masuk (import dan eksport) menggunakan kontena syarikat perkapalan tersebut.

Menurutnya, Pelabuhan Tanjung Pelepas merupakan pelabuhan kedua di negeri Johor dan telah diwartakan sebagai Zon Perdagangan Bebas di bawah Akta Zon Bebas 1990.

“Sehubungan itu, JKDM Johor sentiasa memastikan kawalan yang sempurna di pintu keluar dan pintu masuk negara bagi urusan import atau eksport termasuk menguatkuasakan larangan import atau eksport kontena milik syarikat perkapalan dari Israel oleh MOT,” jelasnya lagi.

Terdahulu, pada Ahad lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kewujudan kontena syarikat perkapalan negara Zionis terbabit.

Beliau dilaporkan berkata, jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.-airtimes.my

Kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel yang berada di pelabuhan sekitar Iskandar Puteri merupakan kontena muatan pindah kapal – JKDM Johor

#semasa #Malaysia #kontena #Israel #airtimes

Related Articles

Leave a Reply