Home Semasa Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Syahid Akhirat buat 2 anggota terkorban

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Syahid Akhirat buat 2 anggota terkorban

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kematian dua anggota polis dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lepas diklasifikasikan sebagai mati syahid kerana kematian Fi Sabilillah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kematian Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, itu adalah di jalan Allah, kerana menjaga dan mempertahankan keselamatan negara.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan jenazah Allayarham kedua-dua anggota ini sebagai syahid akhirat, dengan pengurusan jenazah disempurnakan dengan melengkapkan empat rukun tahjiz jenazah iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan,

“Jawatankuasa mendoakan agar roh kedua-dua anggota ini dicucuri rahmat, kasih sayang dan keredhaan Allah, serta mendoakan Polis Diraja Malaysia terus bersemangat dan diberikan kekuatan untuk menjalankan tugas dalam menjaga keselamatan daripada pelbagai ancaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, berhubung pengurusan jenazah suspek lelaki berusia 21 tahun yang ditembak mati dalam serangan itu, beliau berkata, jawatankuasa memutuskan jenazah dimandi, dikafan dan disolat di hospital atau di rumah keluarganya sahaja, bukan di masjid atau surau.

Mohd Fared menambah, jenazah suspek perlu dikebumikan di tanah perkuburan yang telah ditetapkan jawatankuasa, dengan kedudukan kubur berjauhan dari liang lahad penghuni kubur yang lain.

“Langkah itu diambil sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak terlibat atau melakukan perkara seperti yang dilakukan suspek,

“Ia juga sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek, lebih-lebih lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tiada melakukan salah dan silap terhadap suspek,” ujarnya lagi.

Terdahulu, jenazah suspek dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru hari ini dengan dihadiri beberapa penduduk kampung serta pegawai dan anggota polis.

Dalam kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq meninggal dunia selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Sabtu dilapor berkata, suspek yang terbunuh dalam serangan itu dipercayai bertindak sendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan.-airtimes.my

#semasa #PDRM #serang #ulutiram #balaipolis #airtimes

Related Articles

Leave a Reply