Home Semasa Malaysia sokong usaha Afrika Selatan mohon langkah sementara tambahan ke atas Israel

Malaysia sokong usaha Afrika Selatan mohon langkah sementara tambahan ke atas Israel

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Malaysia mengalu-alukan tindakan terkini Afrika Selatan memohon supaya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan langkah-langkah sementara tambahan ke atas Israel.

Wisma Putra berkata, langkah-langkah sementara tambahan tersebut menetapkan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dengan segera.

Ia termasuk melicinkan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan keperluan Israel melaporkan tindakan yang diambil serta pematuhan mengenai perintah langkah-langkah sementara kepada ICJ.

“Malaysia menyokong sepenuhnya dan menyambut baik usaha Afrika Selatan untuk menghentikan genosid ke atas rakyat Palestin di Gaza,

“Ini merupakan permohonan Afrika Selatan yang ketiga sejak ICJ menetapkan langkah-langkah sementara pada 26 Januari lalu,” katanya Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra turut memaklumkan, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam di Peace Palace, The Hague pada 22 Februari lalu

Mohamad dalam kenyataan lisan itu menyebut berhubung dengan permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Jelasnya, serangan besar-besaran Israel di Rafah ke atas lebih 1.4 juta rakyat Palestin yang terperangkap dan berlindung di kawasan seluas 64 kilometer persegi, akan mengakibatkan malapetaka kemanusiaan yang besar.

“Masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab bersama untuk menuntut Israel menghentikan operasi ketenteraannya,

“Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB,” ujarnya lagi.

Afrika Selatan memfailkan dokumen permohonan bagi meminta mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerintahkan pencerobohan Israel dihentikan serta-merta di Rafah.

Hal ini berikutan negara itu menyifatkan kejadian di Rafah sebagai operasi pembunuhan beramai-ramai yang mengancam kelangsungan hidup rak¬yat Palestin.-airtimes.my

#Malaysia #airtimes #Israel #ICJ #Mahkamah #AS

Related Articles

Leave a Reply