Home Semasa DSA 2024: 12 peserta NGO berhimpun, bantah pempamer bekal senjata ke Israel

DSA 2024: 12 peserta NGO berhimpun, bantah pempamer bekal senjata ke Israel

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kira-kira 12 individu dari gabungan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berhimpun menyuarakan bantahan terhadap pempamer yang menyokong Israel dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NatSec) Asia 2024.

Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua ketika ditemui berkata, pihaknya menyuarakan bantahan terhadap beberapa syarikat negara luar yang membekalkan senjata kepada pihak Israel tanpa syarat dalam pameran tersebut.

“Lebih 60 NGO yang terlibat dalam SSP dan hari ini 12 orang hadir untuk bersama-sama bersolidariti terhadap Palestin,

“Kami rasa sedih dan terkilan dengan adanya syarikat yang begitu di pameran DSA ini,

“Kami tidak membantah semua pembekal senjata, kami tidak membantah mereka yang cuba menaik taraf kesiagaan pertahanan dan tahap keselamatan negara,

“Tetapi kami hanya bantah beberapa syarikat yang sehingga hari ini walaupun banyak teguran dan amaran dari masyarakat antarabangsa, mereka tetap secara berterusan membekalkan senjata kepada pihak Israel,” katanya ketika berhimpun di hadapan perkarangan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Kami tidak menganggu sesiapa, sesiapa yang datang ke pameran ini harus datang dengan penuh kesedaran apa yang berlaku di Gaza adalah satu krisis kemanusiaan - Tian Chua. Foto: AirTimes/Huda

Pada masa yang sama juga, Tian turut berkata, himpunan ini diadakan bagi memberi kesedaran terhadap negara-negara lain agar tidak lagi membekalkan peralatan dan senjata kepada Israel.

“Beberapa syarikat telah disenarai hitam oleh masyarakat antarabangsa seperti Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems) dan beberapa yang lain yang terus membekalkan peluru berpandu, bom yang membunuh ribuan anak-anak serta rakyat Palestin,

“Inilah syarikat yang kita hendak fokuskan (untuk bantah), kita juga menyeru syarikat yang lain agar tidak membekalkan senjata kepada Israel kerana senjata ini telah membunuh orang yang tidak berdosa,

“Mereka guna bukan untuk pertahanan negara,” tegasnya lagi.

Himpunan yang dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) itu mula berkumpul di perkarangan MITEC seawal jam 8.30 pagi.

Mereka yang hadir turut mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk ‘NGO Malaysia Tolak Syarikat Pro Israel. -airtimes.my

#Malaysia #DSA2024 #Israel #Palestin #SPP #airtimes

Related Articles

Leave a Reply