Home Teknologi Pertahanan Cendana Auto ketengahkan produk tempatan tembusi pasaran eksport Asia dan global

Cendana Auto ketengahkan produk tempatan tembusi pasaran eksport Asia dan global

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 7 MEI –  Sejak kali pertama menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) tiga edisi yang lepas, Cendana Auto Sdn. Bhd. (Cendana Auto) telah melalui banyak transformasi.

Cendana Auto hari ini dikenali sebagai pengeluar kenderaan taktikal ringan untuk kegunaan pasukan pertahanan dan keselamatan negara.

Ini merupakan satu inisiatif syarikat dengan menggunakan keupayaan dan kepakaran bumiputera.

Antara keluaran Cendana Auto adalah taktikal ambulan untuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga kenderaan peronda sempadan.

Selain itu, Cendana Auto telah berjaya menyiapkan 20 unit kenderaan Fitted For Radio (FFR) kepada Malaysia Battalion (MALBATT) untuk misi pengamanan di Lubnan dan 21 unit lagi kepada Tentera Darat.

Semua kenderaan ini telah diuji ketahanan oleh pihak Kementerian Pertahanan dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah menepati piawaian yang telah ditetapkan untuk kegunaan taktikal.

Pusat penyelidikan dan pembangunan Cendana Auto serta kilang pembuatan/pemasangan ini beroperasi di Semenyih, Selangor.

Melalui pengalaman dan keupayaan ini, Cendana Auto juga berjaya menghasilkan empat varian kenderaan ketenteraan.

Antaranya SF-21X (High Mobility Light Tactical Vehicle), FFR, Weapon Platform (Armed Tactical Ground Vehicle) dan Mortar Transporter (Ground Tactical Mortar Transporter) yang dibina dan dipasang di kilang Cendana Auto.

Sepanjang penglibatan Cendana Auto dalam industri automotif ketenteraan dan keselamatan, syarikat telah menyertai dan menghadiri beberapa pameran antarabangsa.

Ini untuk meluaskan idea dan pengalaman dalam automotif ketenteraan.

Dalam penyertaan pada DSA 2024 ini, Cendana Auto telah menghasilkan prototaip dan varian kenderaan baharu untuk dipamerkan.

Dua varian tersebut ialah VEXTOR (Light Tactical Troop Transporter) yang merupakan prototaip yang ketujuh dan MAGATTI (Light Strike Vehicle) iaitu kenderaan membawa orang kenamaan atau VVIP.

Cendana Auto amat berbangga dengan penghasilan beberapa varian ini kerana ia merupakan hasil idea, ilham, rekabentuk dan kepakaran satu-satunya syarikat automotif bumiputera pertama.

Kenderaan ini juga dibangunkan dan dipasang menggunakan peralatan dan teknologi tempatan di Malaysia.

Menjadi harapan Cendana Auto untuk mensasarkan lebih banyak pengeluaran varian baharu buatan Malaysia yang dapat dihasilkan dengan menggunakan kepakaran anak muda tempatan.

Ini kerana tenaga muda negara mempunyai daya saing dan inovasi yang tinggi.

Cendana Auto juga meletakkan sasaran untuk mempelopori industri automotif pertahanan tempatan dan keselamatan di Malaysia, malah dapat menembusi pasaran eksport Asia dan global.

Malaysia masih baharu dalam pembuatan dan penghasilan kenderaan ketenteraan kerana sebelum ini negara bergantung kepada kepakaran dan teknologi luar.

Justeru, Cendana Auto mengambil pendekatan untuk mempelopori industri ini dengan mengetengahkan inovasi dan teknologi tempatan dan serta kepakaran bumiputera.

Kualiti dan kesempumaan yang ditampilkan menerusi produk yang dihasilkan adalah setanding dengan produk antarabangsa.

Dengan penghasilan dan pembuatan di Malaysia, maka negara dapat menjaga rahsia pertahanan dan keselamatan negara.

Perkhidmatan yang berkualiti dan standard yang tinggi diletakkan untuk menjadi sebuah syarikat yang berwibawa dan mampu menjadi pelopor industri automotif pertahanan dan keselamatan negara.

Related Articles

Leave a Reply