Home SemasaGlobal Gempa bumi melanda New York, ganggu persidangan PBB

Gempa bumi melanda New York, ganggu persidangan PBB

by M.Daim

NEW YORK, 6 APR – Persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) tergempar seketika berikutan gempa bumi bermagnitud 4.8 berlaku di New York.

Kejadian berlaku pada pukul 10.20 pagi waktu tempatan 5 April (10.20 malam waktu Malaysia).

Ketika kejadian, wakil badan kebajikan antarabangsa Save the Children, Janti Soeripto sedang menyampaikan bahas beliau berhubung situasi semasa Gaza dalam persidangan tersebut.

Bahas beliau terhenti seketika berikutan gempa bumi tersebut. Selepas beberapa ketika, Janti meneruskan bahas beliau selepas mendapat kebenaran pengerusi majlis.

Gempa bumi tersebut dilaporkan terkuat yang pernah menggegarkan kawasan pantai timur Amerika Syarikat dalam tempoh 40 tahun.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di New York sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati, dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di New York,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, gegaran turut dirasai New Jersey, Connecticut dan sejauh utara Massachusetts.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan telah menutup laluan bawah tanah Holland Tunnel dan operasi penerbangan tergendala seketika berikutan fenomena alam itu. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Global #Gempabumi #NewYork

Related Articles

Leave a Reply