Home SemasaGlobal Hospital Al Shifa musnah, hanya dipenuhi kubur – WHO

Hospital Al Shifa musnah, hanya dipenuhi kubur – WHO

by M.Daim

GENEVA,  7 APR – Hospital Al Shifa di bahagian utara Gaza mengalami kemusnahan teruk akibat peperangan berlaku selama 6 bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan hospital terbesar di wilayah bergolak itu kosong dan hanya dipenuhi kubur.

“Tiada lagi pesakit berada di pusat perubatan ini. Kebanyakan bangunan telah rosak atau pun musnah,

“Kebanyakan peralatan perbuatan telah mengalami kerosakan teruk dan juga musnah,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara tersebut dirumuskan oleh WHO selepas sepasukan kumpulan misi antarabangsa melakukan pemeriksaan di fasiliti terbabit.

Tambahnya, mereka mendapati sejumlah kubur cetek telah digali di luar bangunan hospital.

“Di kawasan perkarangan hospital, terdapat banyak jenazah yang separuh tertimbus dan sebahagian anggota badan kelihatan di luar tanah,

“Petugas WHO turut mendapati terdapat jenazah terdedah kepada cuaca panas,

“Pasukan penilai turut melaporkan bau mayat reput memenuhi kawasan perkarangan hospital,

“Menjaga maruah, walaupun terhadap jenazah, adalah tindakan kemanusiaan yang sangat diperlukan pada ketika ini,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, petugas WHO dengan kerjasama pihak Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melakukan lawatan ke Hospital Al Shifa pada 5 April.

Menurut kenyataan itu, kumpulan petugas mengalami beberapa kekangan akibat sekatan perjalanan yang dikenakan oleh tentera Israel semasa menuju ke utara Gaza.

Pasukan misi turut mendapati kelengkapan Hospital Al Shifa mengalami kemusnahan teruk.

“Bangunan-bangunan hospital mengalami kemusnahan teruk akibat letupan dan api,

“Dinding di luar perkarangan hospital telah dimusnahkan. 115 katil di wad kecemasan telah musnah terbakar dan 14 inkubator musnah bersama aset-aset lain,” ujarnya.

Pihak WHO menyatakan, pasukan petugas memerlukan bantuan pakar kejuruteraan untuk menentukan sama ada hospital tersebut selamat untuk digunakan pada masa hadapan.

Hospital Al Shifa merupakan antara kompleks perubatan tertua di Gaza. Hospital ini telah mula beroperasi semenjak 1946.- airtimes.my

#AirTimes #WHO #Global

Related Articles

Leave a Reply