Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM terima 4 FIC G2000 Mk II, buru lanun dan pencerobohan PATI

TLDM terima 4 FIC G2000 Mk II, buru lanun dan pencerobohan PATI

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=NCyQEKiGdTw[/embedyt]

 

KOTA KINABALU, 2 Feb – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima 4 lagi bot pemintas laju (Fast Interceptor Craft, FIC) G2000 Mk II dari Gading Marine Industry Sdn. Bhd. (GMISB) dalam usaha memperkasakan tahap keselamatan maritim terutamanya di perairan Sabah.

Penyerahan aset baharu TLDM ini telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan GMISB, Datuk Ir. Jamalolail Mohd Yatim kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dengan disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, hari ini.

Panglima Tentera Laut berkata, perolehan FIC ini adalah bukti komitmen TLDM untuk sentiasa siap siaga bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang, terutamanya dalam menangani ancaman bukan tradisonal.

Menurutnya, FIC ini direka khas dengan ciri-ciri kecekapan, kelajuan, dan ketepatan bagi membolehkan TLDM bertindak dengan pantas dalam mencegah aktiviti rentas sempadan berlaku di dalam perairan negara.

Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan GMISB, Datuk Ir. Jamalolail Mohd Yatim kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dengan disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Foto: MINDEF

Keempat-empat FIC G2000 Mk II yang diterima ini akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan bagi membendung dan menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan meliputi pengekangan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan, pelanunan serta rompakan laut.

Abdul Rahman berkata, FIC G2000 Mk II ini dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilaksanakan secara automatik.

“FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini juga dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 52 knot,

“Selain itu, susun atur dalaman FIC ini juga telah ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi,” katanya dalam ucapan Penyerahan 4 buah FIC G200 MK II fasa pertama tersebut.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, FIC G2000 Mk II direka khas dengan ciri-ciri kecekapan, kelajuan, dan ketepatan bagi membolehkan TLDM bertindak dengan pantas dalam mencegah aktiviti rentas sempadan berlaku di dalam perairan negara. Foto: Gading Marine.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kejayaan syarikat tempatan iaitu Gading Marine dalam pembinaan FIC G2000 Mk II ini juga harus dipuji kerana berjaya membina dan melaksanakan penyerahan kepada TLDM tepat pada masanya mengikut kontrak.

“Kejayaan ini turut membuktikan bahawa industri pertahanan tempatan khususnya dalam sektor maritim juga mempunyai kebolehan dan berpotensi untuk lebih maju serta berdaya saing dengan industri pertahanan maritim di peringkat global,” jelasnya lagi.

Abdul Rahman turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan pasukan sahabat yang lain dalam memastikan usaha untuk memelihara keutuhan dan melindungi kedaulatan negara dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien.

Bot G2000 MkII ini merupakan versi ketiga dari keluarga bot Siri G2000 yang dibina oleh syarikat Gading Marine.

2 unit versi pertama iaitu FIC G2000 sebelum ini telah diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2019, manakala versi kedua pula iaitu 6 unit FIC G2000 Mk1 telah diserahkan kepada TLDM pada 2021.

Lanjutan daripada prestasi cemerlang yang ditunjukkan FIC G2000 Mk I sepanjang penugasan di bawah OP BENTENG, Kerajaan Malaysia pada tahun 2022 telah meluluskan permohonan TLDM bagi tambahan 13 buah lagi bot dari Gading Marine.

Perolehan FIC G2000 Mk II ini melibatkan 3 fasa di mana TLDM akan menerima keseluruhan sebanyak 13 buah FIC secara berperingkat.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #TLDM #gadingmarine #bot

Related Articles

Leave a Reply