SUNGAI PETANI, 2 Feb – Tiga orang anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan 4 kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gurun, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, kesemua mangsa yang maut berusia antara 30 hingga 40-an.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.22 pagi dan seterusny sepasukan anggota BBP dari Guar Chempedak dan Pendang dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, terdapat 3 trak tentera 5 tan dan sebuah lori Isuzu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 77.5 menuju ke arah utara di Lebuh Raya Utara Selatan,
“3 mangsa terdiri daripada anggota tentera berusia antara 30 hingga 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori Isuzu itu pula mengalami kecederaan di kepala dan patah di bahagian badan tertentu,” katanya.
Difahamkan, 3 buah trak dari pasukan 3 Rejimen Sempadan (3 RS) yang dalam perjalanan ke Markas 30 Briged itu mengalami kerosakan dan telah berhenti di sebelah haluan kiri lebuhraya sebelum di rempuh trailer terbabit.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua individu yang meninggal dunia merupakan pemandu ketiga-tiga trak tentera terlibat.
Manakala, pemandu lori Isuzu cedera di kepala dan badan segera di keluarkan dari kenderaannya dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kemalangan berlaku.-airtimes.my