TAPAH, 2 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seramai 131 pendatang tanpa izin (PATI) telah melarikan diri dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, daripada jumlah itu, 115 orang merupakan etnik Rohingya, manakala 16 lagi ialah warga Myanmar.
Menurutnya, maklumat pertama berhubung kejadian itu diperoleh melalui panggilan yang diterima berkenaan kejadian yang berlaku di blok lelaki.
“Kami menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan kesemua tahanan itu telah melarikan diri,
“Seorang lelaki disyaki tahanan yang melarikan diri turut maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia di KM335 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pencarian kesemua tahanan yang lolos dan siasatan masih diteruskan dengan bantuan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Bukit Aman.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 132 tahanan PATI etnik Rohingya melarikan diri Depot Imigresen Sementara Bidor pada Khamis.
Susulan kejadian itu, Op Tutup dijalankan membabitkan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa kawasan bagi menjejaki semua mereka mereka yang lolos. -airtimes.my
#PDRM #JIM #airtimes #PATI #Malaysia