CYBERJAYA, 17 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 31 menteri menghadiri program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa selama 2 hari, bermula hari ini.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, program itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk menyampaikan mandat kepada semua anggota Kabinet dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam tentang hala tuju dan strategi Kerajaan bagi 2024.
Di samping itu, JPM memaklumkan, program itu juga bertujuan bagi mencapai penjajaran matlamat, serta mewujudkan rasa kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan Menteri terhadap pelan tindakan Kerajaan yang bersepadu, dan tuntas berteraskan konsep ‘whole of government’ dan ‘whole of nation’.
“Program pemukiman kali ini juga membawa matlamat untuk memantapkan sinergi dan kerjasama antara Jemaah Menteri bersama kepimpinan perkhidmatan awam serta memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan tersebut (with Focused Execution) untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani,
“Program yang berlangsung selama 2 hari ini membawa kepada sesi wacana dan forum yang melibatkan pakar-pakar dari sektor awam, sektor swasta, industri dan organisasi antarabangsa,” jelas JPM lagi.
JPM turut menjelaskan, perkara yang menjadi topik perbincangan antara lain ialah cabaran dan hala tuju ekonomi; kebajikan dan keselamatan sosial; pembangunan infrastruktur dan kemampanan; serta tadbir urus, inovasi dan komunikasi ke arah kemakmuran negara.
Semalam, Anwar berkata pemukiman itu juga akan meneliti pelaksanaan dasar yang telah dilancarkan oleh kerajaan sepanjang tahun lepas.
Sesi pemukiman pertama Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri yang berlangsung di Putrajaya pada Januari tahun lepas antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama setiap kementerian dalam Kerajaan Perpaduan. -airtimes.my
#semasa #Madani #DSAI #airtimes #Malaysia