Home Diskusi Kolumnis: LCS jadi cabaran kepada Mohamed Khaled pastikan projek dilaksana ikut perjanjian semula

Kolumnis: LCS jadi cabaran kepada Mohamed Khaled pastikan projek dilaksana ikut perjanjian semula

by Zaki Salleh

Tidak dapat tidak, cabaran besar menanti pada individu yang menggalas tugas sebagai Menteri Pertahanan iaitu menyelesaikan isu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Berdepan kelewatan yang memasuki tahun ke-10 tahun hadapan, isu LCS juga menjadi cabaran pada mana-mana pentadbiran yang menerajui kerajaan semasa (government of the day).

Walaupun progres LCS sedang memasuki fasa baharu apabila kerajaan memutuskan projek tersebut diselamatkan, namun yang paling ditunggu ialah bila kapal dapat disiapkan.

Tugas Menteri Pertahanan (Menhan) kini digalas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin setelah bertukar portfolio daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Di bawah pentadbiran Mohamad atau Tok Mat, perjanjian semula projek LCS antara Mindef dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) telah dimeterai pada Mei lalu.

Tiga pentadbiran kerajaan sebelum ini tidak dapat memutuskan jalan penyelesaian skandal LCS kerana ia melibatkan komitmen kewangan yang besar.

Dalam tempoh lima tahun iaitu sejak Mei 2018, terdapat lima orang menhan silih berganti di bawah empat Perdana Menteri.

Bermula dengan Mohammad Sabu, seterusnya Datuk Seri Ismail Sabri; Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein diikuti Mohamad dan Mohamed Khaled.

Kos projek terkini pula adalah RM11.266 bilion berbanding kos asal RM9.128 bilion dengan tambahan RM2.098 bilion.

Begitu pun, proses pemulihan projek LCS ini telah dibincangkan lebih awal iaitu sejak tahun 2020 apabila kerajaan pada masa itu meletakkan komitmen untuk menyelesaikan kelewatan.

Pada April 2022, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan keputusan kabinet bahawa projek LCS yang sudah lebih 43 bulan diberhentikan, akan diteruskan.

Susulan perjanjian semula, Kementerian Kewangan (MOF) telah menubuhkan syarikat bertujuan khas bagi mengambil alih BNS sebagai anak syarikat kepada kementerian itu.

Lima kapal ini dijanjikan untuk disiapkan BNS dan kerajaan dengan LCS pertama pada Ogos 2026 dan yang akhir pada April 2029.

Bermakna LCS pertama yang diberi nama KD Maharaja Lela dan LCS kedua akan siap semasa Mohamed Khaled sebagai Menhan, itupun jika tiada masalah di pertengahan.

Ini juga sekiranya mengikut janji Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim bahawa barisan kabinet baharu akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 atau pada tahun 2027.

Sebenarnya, sejak kelewatan projek LCS empat tahun lalu, banyak maklumat yang diumumkan oleh pihak Mindef seringkali berbeza dan bertukar-tukar.

Ini juga menyebabkan pihak awam keliru dengan program LCS termasuk status serta keupayaan projek tersebut diteruskan.

Perkara ini boleh dilihat dengan merujuk kembali kenyataan-kenyataan Kementerian Pertahanan pada setiap kerajaan semasa yang mentadbir antara tahun 2019 hinggalah sekarang.

Semasa majlis pelancaran LCS pertama di Lumut, Perak enam tahun lalu, keadaan yang digambarkan ialah kapal tersebut hampir siap.

Malah, sebelum berdepan skandal kelewatan juga tidak pernah timbul tentang isu rekabentuk terperinci atau detailed design apabila pihak Boustead pada tahun 2014 sendiri memaklumkan semuanya sudah beres.

Secara kebetulan, Mohamed Khaled sebelum ini pernah dilantik sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Bhd. pada 2020 sebelum melepaskan jawatan pada Ogos 2021.

Ketika ini kos projek LCS adalah RM11.266 bilion berbanding kos asal RM9.128 bilion dengan tambahan RM2.098 bilion juga sukar dijangka kerana kemungkinan ia meningkat.

Gowind yang menjadi asas rekaan pada projek LCS bukanlah sebuah kapal yang kurang elok atau tidak baik sepertimana tanggapan segelintir pihak.

Malah, ia merupakan kapal perang dengan ciri-ciri halimunan yang direka untuk tugas operasi maritim masa hadapan.

Malaysia menjadi negara pertama apabila memutuskan untuk membina enam buah frigat berasaskan rekaan Gowind untuk TLDM pada 2011.

Ini juga merupakan kejayaan besar pada Naval Group Perancis apabila rekabentuk kapal mereka berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Sehingga kini, sebanyak 16 buah kapal kelas Gowind telah dipesan pelanggan dari empat negara iaitu Malaysia, Mesir, Argentina dan UAE mengikut konfigurasi masing-masing.

Hanya Malaysia dan Mesir memilih untuk membina kapal di limbungan masing-masing menggunakan tenaga tempatan dengan pemindahan teknologi dari Perancis.

Mesir memulakan projek korvet Gowind pertama, El Fateh di Lorient, Perancis pada 2015 yang mengambil masa tiga tahun disiapkan.

Tiga kapal seterusnya dibina di Limbungan Perkapalan Alexandria, Mesir secara berperingkat-peringkat iaitu pada 2016, 2018 dan 2020.

Ketika ini kapal Gowind terakhir Mesir, ENS Ismalia sedang menjalani ujian pelayaran di laut.

Jika Mesir berjaya menyiapkan kesemua tiga korvet Gowind tanpa masalah dibantu oleh Naval Group Perancis, kita sepatutnya boleh dan telah melakukan perkara sama. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply