Home SemasaMalaysia sambut baik permohonan Afrika Selatan hadapkan Israel di ICJ

Malaysia sambut baik permohonan Afrika Selatan hadapkan Israel di ICJ

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Malaysia menyambut baik permohonan Afrika Selatan untuk memulakan prosiding terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung keganasannya terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan, prosiding terhadap Israel itu dibuat mengikut Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (Genoside Convention).

Permohonan oleh Afrika Selatan itu termasuk permintaan supaya Mahkamah mengambil langkah sementara atau jangka pendek yang mengarahkan Israel supaya menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza.

Ia bertujuan untuk melindungi daripada lebih banyak kemudaratan terhadap hak-hak rakyat Palestin mengikut Konvensyen Genosid, dan bagi memastikan pematuhan Israel terhadap kewajipannya berdasarkan Konvensyen itu.

“Tindakan undang-undang terhadap Israel di ICJ adalah langkah yang tepat dan tegas ke arah kebertanggugjawaban undang-undang terhadap kekejaman Israel di Gaza dan Wilayah Palestin yang diduduki (OTP) secara umum,

“Sebagai Pihak kepada Konvensyen Genosid, Malaysia menggesa Israel supaya memenuhi kewajipannya mengikut undang-undang antarabangsa dan menghentikan segera kekejaman terhadap rakyat Palestin,” menurut Wisma Putra, hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra menegaskan, Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan kemerdekaan negara dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmuqadis Timur sebagai ibu kotanya.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 22,185 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh manakala 57,035 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas.

Serangan Israel memusnahkan Gaza, dengan 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah, dan hampir 2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal ditengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang meruncing.-airtimes.my

#global #Malaysia #palestin #SaveGaza #airtimes

Related Articles

Leave a Reply