Home Pertahanan dan Keselamatan Setelah tiga tahun tertangguh, kapal OPV 1 kini diserahkan kepada APMM

Setelah tiga tahun tertangguh, kapal OPV 1 kini diserahkan kepada APMM

A+A-
Reset

PULAU INDAH, 3 Jan – Setelah berhadapan dengan pelbagai isu termasuk kelewatan, Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) secara rasminya diserahkan oleh pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada Selasa.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi berkata, penyerahan secara rasmi itu bagi membolehkan ia diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan carilamat.

“Penyerahan OPV1 ini adalah satu lagi detik bersejarah kepada kementerian ini khususnya kerajaan Madani kerana berjaya memastikan kapal peronda buatan tempatan ini siap dibina setelah beberapa kali berlaku penangguhan akibat COVID-19 selain proses membawa masuk peralatan teknikal terkini kapal yang diimport dari negara luar,

“OPV1 ini dibina menggunakan reka bentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dan berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal.

“Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV1 berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7,” jelasnya dalam kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, Ruji hadir ke Majlis Penyerahan OPV1 kepada KDN di Limbungan Kapal THHE Fabricators Sdn Bhd di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin serta Pengerusi TH Heavy Engineering Berhad, Datuk Jauhari Hamidi.

Ruji berkata, OPV1 ini mampu melaksanakan tugas-tugas seperti Humanitarian Assistance & Disaster Relief (HADR), bertindak sebagai Kapal Logistik, Kapal Mothership, Kapal Pemerintah, serta menjadi tempat penyimpanan Oil Pollution Equipment.

Jelasnya, OPV1 ini juga mampu mecapai kelajuan 21 knot serta mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan.

“Malah ia juga turut dilengkapi dengan peralatan canggih seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, 2 buah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Dan Fast Interceptor Craft,

“OPV1 ini juga didatangkan bersama Radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas selain boleh menempatkan 70 orang anak kapal dalam satu-satu masa operasi,”tambahnya lagi.

Menurutnya, dengan kelengkapan ini, ia diharapkan mampu membantu APMM memperkasakan lagi pengoperasian agensi ini dalam menguatkuasakan undang-undang maritim seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) berada dalam keadaan selamat dan sejahtera.

Sebelum OPV1 diserahkan kepada pihak Kementerian, OPV1 telah melalui beberapa fasa percubaan termasuk fasa ujian di laut (sea trial) yang dilakukan di Selat Melaka bersama aset-aset APMM yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat pada 28 November lalu. -airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #MaritimMalaysia #OPV1 #Keselamatan

Leave a Reply