KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama 2 hari kepada pengguna lebuh raya pada 23 dan 26 Disember ini sempena sambutan Hari Krismas.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengecualian tol diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui mesyuarat bersama – sama dengan syarikat konsesi juga telah bersetuju dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini pada 23 Disember 2023 (Sabtu) dan 26 Disember 2023 (Selasa),
“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Ahmad Maslan berkata, pemberian tol percuma in diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,
“Pemilihan tarikh in juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian di lebuh raya,” ujarnya lagi.
#semasa #Malaysia #tolpercuma #airtimes
