Home SemasaGlobal Harapan gencatan sementara untuk kembali di Gaza berkecai

Harapan gencatan sementara untuk kembali di Gaza berkecai

by M.Daim

DOHA, 3 DIS – Harapan untuk mencapai gencatan sementara di Gaza menemui jalan buntu apabila kumpulan rundingan Israel menarik diri dari mengadakan perbincangan di Qatar.

Kumpulan perunding dari agensi perisikan Israel, Mossad telah tiba di negara teluk itu bagi mengadakan rundingan dengan pihak Hamas berhubung pembebasan sejumlah tahanan wanita dan kanak-kanak.

Namun begitu, kumpulan tersebut dilaporkan telah pulang dari Doha beberapa jam kemudian.

Media antarabangsa melaporkan, pihak Tel Aviv memutuskan rundingan yang dilakukan dengan pengantara Qatar dan Mesir itu telah menemui jalan buntu.

Pihak Pejabat Perdana Menteri Israel mendakwa Hamas enggan memenuhi janji untuk membebaskan tahanan terdiri daripada wanita serta kanak-kanak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Politik Hamas menegaskan tiada sebarang rundingan akan dilakukan pada ketika ini.

“Tiada akan ada sebarang pertukaran tahanan sehingga pencerobohan Israel berakhir,

“Baki tahanan yang ada pada ketika ini adalah terdiri daripada anggota tentera dan bekas tentera,

“Tiada rundingan mengenai pembebasan mereka sehingga pencerobohan tamat,” jelas Hamas yang memetik kenyataan Sheikh Saleh Al-Arouri dalam saluran rasmi mereka.

Tambahnya, Hamas yakin Israel akan gagal mengawal keseluruhan Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, Israel dan Hamas bersetuju untuk mengadakan gencatan sementara yang bermula pada 24 November lalu. Gencatan tersebut berjaya dicapai selepas rundingan berlangsung untuk beberapa minggu.

Pada mulanya, gencatan sementara ini berlangsung untuk 4 hari dan kemudiannya dilanjutkan sebanyak 2 kali. Akan tetapi, ianya hanya mampu bertahan selama 7 hari sehingga 1 Disember lalu.

Semenjak gencatan sementara tamat, Israel telah melancarkan pelbagai siri serangan terhadap keseluruhan Gaza.

Pada yang sama, kumpulan bersenjata di Gaza telah melancarkan beberapa siri serangan roket terhadap kawasan selatan dan tengah Israel, termasuk Tel Aviv.

Sehingga kini, seramai 84 tahanan wanita dan kanak-kanak serta 24 warga asing telah dibebaskan dari Gaza dalam tempoh 7 hari gencatan sementara.

Selain itu, 240 tahanan Palestin telah dibebaskan oleh Israel dan sejumlah besar bantuan kemanusiaan dibenarkan untuk memasuki Gaza.– airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Global

Related Articles

Leave a Reply