BEIRUT, 9 OKT – Tentera Israel telah melancarkan serangan terhadap beberapa lokasi di Selatan Lubnan.
Serangan dilancarkan di kawasan Dhayra, Marwahin dan Yarine.
Serangan balas dilancarkan oleh Tel Aviv melibatkan helikopter tempur, jet pejuang dan tembakan artileri.
Terdahulu, serangan mortar dan roket telah dilancarkan dari Selatan Lubnan terhadap kedudukan Israel. Pertempuran dilaporkan tercetus selepas beberapa individu bersenjata menyerang pos tentera Israel.
Pihak tentera Israel mengeluarkan amaran kepada penduduk di 28 penempatan di kawasan sempadan untuk berlindung berikutan kebimbangan berlakunya serangan roket.
Media Israel melaporkan seramai 6 orang cedera termasuk 2 orang parah selepas pertempuran tercetus di kawasan sempadan.
Pasukan tentera Israel telah diatur gerak ke kawasan berhampiran sempadan Lubnan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam pada itu, Hezbollah menafikan pihaknya telah melancarkan sebarang serangan mahupun operasi terhadap mana-mana kawasan di utara Israel.
Sementara itu, pertempuran masih tercetus di beberapa kawasan di sempadan Gaza. Israel telah melancarkan operasi ketenteraan terhadap Gaza selepas serangan mengejut pada 7 Oktober.

Israel terus membedil kedudukan Gaza melalui beberapa siri serangan udara.
Israel mempertingkatkan serangan udara terhadap beberapa sasaran di Gaza yang didakwa sebagai lokasi strategik Hamas.
Serangan roket telah dilancarkan ke kawasan selatan dan tengah Israel. Serangan roket yang dilancarkan dari Gaza telah mengenai beberapa lokasi termasuk penempatan Israel di Baitulmuqaddis.
Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza menyatakan serangan udara yang dilancarkan oleh Israel telah menyebabkan satu-satunya hospital yang masih berfungsi di Gaza menjadi lumpuh.
Pihak berkuasa kesihatan wilayah itu turut menyatakan seramai 700 orang penduduk maut semenjak Israel melancarkan serangan terhadap Gaza. – airtimes.my
#AirTimes #Palestin #Israel