Home Semasa 3 lelaki ditahan dengan senjata api di Kota Tinggi

3 lelaki ditahan dengan senjata api di Kota Tinggi

by Muaz Rizqi

KOTA TINGGI, 11 Mei – 3 lelaki termasuk seorang yang dikehendaki polis, ditahan bersama sejumlah senjata api dan peluru di Felda Adela, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata ketiga-tiga warga tempatan yang berusia 33, 35, dan 39 tahun itu, ditahan berdekatan Masjid Jamek Al-Ikhwan di Felda Adela, dekat sini, lebih kurang pukul 1 pagi.

Beliau berkata hasil serbuan itu, polis turut merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri bersama 3 butir peluru, sepucuk pistol jenama Beretta Gardone VT, satu kelopak berisi 4 butir peluru 9 milimeter, sebilah pisau dan dadah jenis ganja serta Eramin 5.

Kamarul Zaman berkata polis turut menyerbu sebuah rumah di Felda Tunggal, di sini, serta merampas 2 laras senapang angin dipercayai buatan sendiri, satu butir peluru penabur, 3 kelongsong peluru penabur dan 10 biji guli.

“Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati 2 individu mempunyai rekod kes jenayah dan dadah, manakala seorang individu masih berstatus dikehendaki berkaitan kes jenayah tahun 2016,

“Kita juga akan siasat daripada segi penggunaan senjata api ini, sama ada dengan tujuan memburu atau sebagainya,” ujarnya lagi.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora.

Kamarul Zaman berkata salah satu fokus siasatan pihak polis dan Perhilitan adalah untuk memastikan tiada kegiatan pemburuan haram.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan menyiasat sama ada pistol yang dirampas pernah digunakan dalam siri pecah rumah atau samun sebelum ini.

Beliau berkata ketiga-tiga individu itu, yang positif dadah jenis methamphetamine dan ganja, direman selama 3 hari mulai hari ini hingga 12 Mei.

Kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960; Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply