Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam Kelantan tingkat pemantauan cegah penyeludupan di sempadan

Kastam Kelantan tingkat pemantauan cegah penyeludupan di sempadan

by Bernama

KOTA BHARU, 10 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan meningkatkan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dilakukan segelintir penduduk yang menetap di sepanjang 103 kilometer Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata hasil risikan dan kes-kes yang diperoleh, aktiviti penyeludupan berlaku hanya dalam skala kecil, namun terdapat peningkatan kekerapan aktiviti terbabit yang dilakukan sebagai mata pencarian.

“Jumlah penyeludupan semakin berkurangan disebabkan kekerapan pemantauan oleh agensi penguatkuasaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan Polis Diraja Malaysia setiap 24 jam,

“JKDM Kelantan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan di sepanjang sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan termasuk di 3 laluan sah di Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor,” katanya.

Wan Jamal berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini mengenai “Legasi Keluarga Penyeludup di Kelantan”, terutama penduduk di sekitar Sungai Golok di daerah Rantau Panjang yang memilih untuk bekerja sebagai penyeludup secara turun-temurun hingga 3 generasi.

Tambah beliau lagi, tindakan tegas dan pendakwaan mahkamah akan dilaksanakan bagi mereka yang didapati bersalah.

“Kita juga tidak akan sesekali berkompromi dengan aktiviti penyeludupan dan kepada sesiapa yang telah melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut undang-undang,

“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sepanjang Sungai Golok terdapat lebih 140 pangkalan haram yang merupakan laluan tidak sah untuk berulang-alik, malah kebanyakan penduduk di kedua-dua negara ini mempunyai pertalian kekeluargaan antara satu sama lain.

Menurutnya, penduduk yang mendiami di sepanjang Sungai Golok kebanyakannya merupakan pemilik asal tanah di situ dan terdapat premis yang dibina di atas tanah persendirian berhampiran Sungai Golok menyukarkan agensi membuat serbuan dan pemantauan.

Tambahnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply