Home Semasa Bungkusan atas kereta meletup, tukang masak maut

Bungkusan atas kereta meletup, tukang masak maut

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Seorang tukang masak maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet sebuah kereta meletup berhampiran sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 12/1, Pandan Indah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat bunyi letupan dalam kejadian pada jam 8.55 malam.

“Mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun mendapati terdapat satu bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet Toyota Corolla Altis,

“Apabila mangsa memegang bungkusan berkenaan, berlaku letupan yang dipercayai daripada bungkusan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Farouk berkata, mangsa yang parah pada bahagian badan dan tangan dibawa oleh orang awam ke Hospital Ampang.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.45 malam tadi di Hospital Ampang,

“Siasatan di lokasi kejadian juga menemui berapa kesan akibat letupan iaitu kesan kemek pada kereta mangsa,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” tambahnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply