Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Banjir: Tugas dan tanggungjawab diteruskan demi rakyat

Banjir: Tugas dan tanggungjawab diteruskan demi rakyat

by Nurulhuda

BESUT, 20 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diaturgerakkan bagi membantu pihak berkuasa tempatan untuk operasi menyelamatkan mangsa yang terjejas banjir di beberapa negeri.

Sehubungan itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) telah dikerah ke lokasi-lokasi banjir di Kelantan dan Terengganu sejak Ahad lalu.

“Anggota Batalion Ke-18 Rejimen Askar Diraja Malaysia (18 RAMD) Para terus menghulurkan bantuan dengan menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Batu 24, Hulu Terengganu sekitar jam 3.30 petang tadi,

“Batalion Pertama Rejimen Sempadan (1 RS) turut mengaturgerakkan seorang pegawai dan 18 anggota bagi membantu membawa bekalan makanan dari PPS Masjid Kampung Bukit Kechik ke PPS Padang Kijang di Tanah Merah,

“Selain itu, Anggota Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) di atur gerak memindahkan 18 orang mangsa banjir di Kampung Gertak, Rantau Panjang. Kesemua mangsa banjir telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Gual Tinggi,

“Seramai 2 Pegawai dan 27 anggota dari Rejimen Ke-5 Artileri Diraja (5 RAD) telah diaturgerakkan dalam bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara di Jerteh, Besut,” jelas 8 Bgd menerusi hantaran di media sosialnya.

Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat dengan angka terkini 39,108 orang direkod berpindah ke Pusat Pemindahan Pemindahan (PPS) berbanding 37,792 daripada 10,401 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 315 PPS beroperasi di kesemua 8 daerah di negeri itu dengan Kemaman merekodkan 10,042 mangsa di 31 PPS; Besut (9,378 mangsa di 96 PPS); Hulu Terengganu (6,652 mangsa di 58 PPS) dan Setiu (4,748 mangsa di 60 PPS).

Dungun merekodkan 2,913 mangsa di 36 PPS; Kuala Terengganu (2,252 mangsa di 11 PPS); Kuala Nerus (1,720 mangsa di 11 PPS) manakala Marang (1,403 mangsa di 12 PPS).

Sementara itu, di Kelantan, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 26,630 orang daripada 9,319 keluarga petang ini, berbanding 17,326 orang daripada 4,793 keluarga pagi tadi.

Sebanyak 131 PPS dibuka membabitkan jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply