LAHAD DATU, 20 Dis – Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di daerah ini pada 16 hingga 18 Disember lalu.
Komander ESSCOM, Datuk Hamzah Ahmad berkata, sepanjang tempoh itu, sejumlah 548 pemeriksaan fizikal individu dan 290 rumah serta premis telah dilaksanakan.
Beliau berkata, kesemua PATI berkenaan ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pendaftaran Negara 1959 sebelum diusir pulang ke negara asal.
Menurutnya, operasi bersepadu itu dijalankan susulan daripada Operasi Bersepadu yang dilaksanakan pada 1 hingga 6 Disember lepas.
“Operasi bersepadu seumpama ini perlu terus dilipatgandakan bagi memastikan persekitaran sejagat terus terjamin dan selamat demi kepentingan pembangunan sosio ekonomi sekitar pusat operasi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelasnya, seramai 80 anggota keselamatan terlibat dalam operasi itu termasuklah jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lahad Datu, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hamzah menjelaskan, ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di Pantai Timur Sabah.
“Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp 011-63311072,” ujarnya lagi.-airtimes.my