Home PolitikBarisan Nasional Tolak PKR, DAP dan BERSATU hanya ketika PRU – Zahid

Tolak PKR, DAP dan BERSATU hanya ketika PRU – Zahid

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Barisan Nasional (BN) memberi jaminan, kerjasama di antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) yang didalamnya terdapat DAP pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, tidak mengabaikan prinsip UMNO.

Justeru, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah hanya untuk berdepan PRU15, dan bukannya selepas pilihan raya umum itu.

“Kerjasama strategik ini tidak mengabaikan prinsip UMNO. Perlu difahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan pada PRU15 dan bukannya untuk pasca pilihan raya,

“Selepas Pilihan Raya Umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,”katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.

“Sesuai dengan perkembangan ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif,” tambahnya.

Tegasnya, UMNO tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap moderate, sederhana, centrik dan progresif dalam menangani perubahan.

“UMNO juga menolak parti politik menggunakan agama untuk berpolitik, sebaliknya UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya lagi.

Dalam hantaran yang sama, Zahid berkata, kerjasama BN dan PH di Perak dan Pahang, khususnya adalah bagi memastikan kesinambungan dalam kesejahteraan serta kebajikan rakyat di negeri-negeri tersebut.

“Kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan untuk diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan,

“Kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang juga memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik,” katanya.

Tambah Presiden BN itu juga, pendekatan baharu ini adalah satu pilihan yang akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan.

“Keterbukaan ini mencerminkan bahawa BN-PH merintis jalan baharu untuk membawa politik centrik, jalan kesederhanaan dan matang,

“Kesemua ini selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Yang Dipertuan Agong dan kini ia berbentuk kerajaan campuran selepas Perikatan Nasional menolak menyertainya,” jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply