BUKIT KAYU HITAM, 14 Nov – Seramai 16 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang bersembunyi di kawasan hutan di kebun getah Kemajuan Tanah Bukit Tangga ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas memasuki negara menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand, pagi tadi.
Markas Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu ditahan oleh anggota Operasi (Op) Benteng Kawasan anggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Menurut Markas 2 Div, anggota operasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan kumpulan pergerakan orang awam yang mencurigakan di laluan Sungai Tangga dan menahan mereka di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya seramai 16 orang dan merupakan PATI lelaki warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,
“Kesemua mereka memasuki negara melalui laluan haram serta berumur antara 19 hingga 51 tahun,” jelas kenyataan itu.
Jelas Markas 2 Div, turut dirampas adalah 13 kad pengenalan diri warganegara Myanmar, 5 beg pakaian, 9 unit telefon bimbit, matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM4,519.50.
Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.
Tambah Markas 2 Div, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khusunya kemasukan PATI. -airtimes.my