KUALA LUMPUR, 14 Nov – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab dalam proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok.
Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru agar mereka menggunakan hak yang ada bagi memilih sebuah kerajaan yang adil dan menjaga kepentingan warga ATM.
“Saya nak ucapkan selamat mengundi kepada anggota ATM dan ahli keluarga masing-masing di seluruh negara,
“Keluarlah beramai-ramai kerana ini merupakan hak dan tanggungjawab semua demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara,
“Setiap satu undi itu penting dalam menentukan kerajaan yang memerintah dalam 5 tahun akan datang. Buatlah pilihan yang bijak,
“Pilihlah calon dan parti yang mempunyai rekod serta pencapaian yang baik. Inilah pertimbangan yang paling adil,”katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di hantaran Facebooknya, hari ini.
Sejumlah 265,531 anggota ATM dan polis akan menjadi kumpulan utama penentu mandat kerajaan menerusi PRU15, esok.
Jumlah itu terdiri daripada 146,737 anggota ATM serta pasangan masing-masing, manakala seramai 118,794 pengundi adalah anggota polis serta pasangan.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut menasihatkan agar pengundi-pengundi tersebut turun awal agar dapat memudahkan proses pembuangan undi.
“Kalau boleh keluar mengundi awal dan jaga disiplin semasa melalui setiap proses pengundian,
“Peliharalah nama baik ATM, buktikan ATM contoh teladan yang baik kepada masyarakat, selamat mengundi semua,”ujarnya. -airtimes.my