Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Satu rejimen Kor Polis Tentera Diraja akan ditubuhkan di Sabah

Satu rejimen Kor Polis Tentera Diraja akan ditubuhkan di Sabah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah menubuhkan satu lagi pasukan baru iaitu Kompeni Kor Polis Tentera Diraja Grup Artileri Pertahanan Udara yang berpengkalan di Kem Bera, Pahang.

Pengerusi KPTD, Brigedier Jeneral Abd Wahab Geoh menjelaskan, penubuhan pasukan baru itu adalah salah satu dari Pelan Hala Tuju Transformasi KPTD bagi memperlihatkan keberhasilan dan kepentingan KPTD terhadap Tentera Darat Malaysia (TDM).

Jelasnya, kompeni ini diketuai oleh seorang Pegawai Pemerintah berpangkat Mejar dan 5 orang pegawai serta 157 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

Sementara itu, terdapat juga rancangan penubuhan 5 Rejimen KPTD di Kem Lok Kawi, Sabah yang kini di dalam proses akhir untuk diluluskan.

Pengerusi KPTD, Brigedier Jeneral Abd Wahab Geoh menyeru kepada semua warga KPTD supaya terus kekal fokus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai seorang anggota Polis Tentera yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugas penguatkuasaan.

“Setelah diluluskan kelak, 5 Rejimen KPTD ini akan mempunyai 2 pasukan iaitu pasukan 5 Kompeni KPTD dan 13 Kompeni KPTD dan akan diletakkan di bawah pemerintahan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div),” katanya ketika perutusan  sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KPTD ke-69, hari ini.

Acara perbarisan ini merupakan perbarisan pertama sempena Hari Ulang Tahun KPTD semenjak beliau mengambil alih jawatan selaku Pengerusi Kor pada 29 Ogos yang lalu.

Seramai 15 pegawai dan 183 anggota diketuai oleh Leftenan Kolonel Kamarulzaman Abu Kassim terlibat dalam perbarisan tersebut yang diadakan di Padang Kawad Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Kem Genting Klang.

Abd Wahab turut berkata, pembangunan perolehan aset menjadi salah satu faktor kejayaan KPTD dimasa akan datang.

Usaha-usaha perolehan aset akan diteruskan bagi meningkatkan lagi mobiliti KPTD dan seterusnya mampu melaksanakan peranan dengan lebih cekap dan berkesan – Pengerusi KPTD.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, KPTD bakal beroleh sebanyak 40 buah motosikal penguatkuasa jenis BMW 1250 RT secara sewaan.

“Perolehan motosikal ini di dalam proses akhir dan dijangka akan dibekalkan pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya pada awal tahun 2023,

“Perolehan aset-aset penting ini melalui dasar secara sewaan amat memberi manfaat kepada KPTD bagi memperkasakan tugas kepolisan di kawasan tangungjawab masing-masing,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyempurnakan majlis pemakaian pangkat, penyampaian pingat dan anugerah KPTD kepada pegawai serta anggota yang telah mempamerkan kecemerlangan sepanjang tahun ini.

Lans Koperal Casiona Mon dari Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja telah berjaya memenangi Kategori PTT Rendah Terbaik pada Hari Ulang Tahun KPTD ke-69.

Perbarisan hari ini turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga dari kumpulan Akrobatik Bermotosikal Army Red Warrior dan Tempur Tanpa Senjata (TTS) dari penuntut serta anggota KPTD.

Salah satu aksi yang dipamerkan oleh anggota kumpulan Akrobatik Bermotosikal Army Red Warrior.

Selain itu, beliau juga telah merasmikan Pelan Hala Tuju Transformasi KPTD yang bertunjangkan kerangka besar Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke–28.

“Pelan ini adalah dokumen rasmi untuk masa depan KPTD yang lebih gemilang. Ianya berlanjutan daripada Blue Print KPTD 2020 yang diterbitkan lebih awal yang berasaskan kepada konsep mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada bagi mengimbangi batasan perolehan sumber baru dan kewangan,

“Ia mempunyai sasaran yang berorientasikan keberhasilan dan mampu memberi impak bagi memperlihatkan kepentingan KPTD kepada TDM,” jelas Pengerusi KPTD.-airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply