Home Semasa Suami isteri diberkas bersama 30kg ganja bernilai RM75,000

Suami isteri diberkas bersama 30kg ganja bernilai RM75,000

by Nurulhuda

BUKIT MERTAJAM, 11 Okt – Sepasang suami isteri diberkas di rumah mereka di Taman Malwira, Kubang Semang bersama 29 ketulan mampat dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM75,000 pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, serbuan dilakukan jam 11 malam itu hasil risikan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik SPT.

“Tangkapan kedua-dua suspek yang berumur 32 dan 36 tahun itu membawa kepada penemuan 29 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 30 kilogram,

“Selain itu, kita turut menyita sebuah kereta jenis Hyundai Santa Fe, 2 utas gelang tangan, seutas rantai leher dan sebentuk cincin menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM103,270,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, hari ini.

Beliau menjelaskan, hasil risikan mendapati sindiket terbabit telah bergiat aktif melakukan aktiviti pengedaran ganja sejak Mei tahun lalu dan dijual untuk pasaran tempatan.

“Ujian saringan air kencing kedua-dua suspek negatif, manakala salah seorang daripadanya memiliki satu rekod kesalahan lampau,

“Kedua-duanya direman selama seminggu bermula 5 Oktober sehingga hari ini bagi membantu siasatan. Manakala, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1951,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply