Home Semasa Siasatan buku Tommy Thomas selesai, kenal pasti 19 isu penting

Siasatan buku Tommy Thomas selesai, kenal pasti 19 isu penting

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Laporan akhir Pasukan Petugas Khas (PPK) telah mengenal pasti 19 isu penting dari buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang memerlukan perhatian lanjut kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan yang perlu dilaksanakan.

“Laporan akhir ini disediakan melalui hasil penelitian dokumen dan sesi konsultasi dengan pihak-pihak berkaitan,

“Dalam hal ini, sebanyak 19 sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan individu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Laporan siasatan mengenai buku ini dipengerusikan oleh Datuk Seri Fong Joo Chung yang mengambil masa kira-kira 9 bulan bermula Disember 2021 hingga Ogos 2022 untuk disediakan.

“Satu laporan interim telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan pada 18 April lalu,” ujarnya

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembentangan dan laporan itu diserahkan dalam mesyuarat yang turut dihadiri pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Pada masa sama, Wan Junaidi memaklumkan, PPK telah membentang dan menyerahkan laporan akhir berkenaan kepadanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply