Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Rafizi sila kemukakan bukti Zainab Mohd Salleh isteri kedua saya – Abd Latiff

Rafizi sila kemukakan bukti Zainab Mohd Salleh isteri kedua saya – Abd Latiff

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mahu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli untuk mengemukakan bukti bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri keduanya.

Abd Latiff dalam kenyataan berkata, beliau sedia disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang dijelaskannya berhubung isu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

“Saya berharap saudara Rafizi bersikap lebih jujur dalam berpolitik,

“Pembohongannya bukan sahaja menipu masyarakat tetapi juga menggugat keyakinan rakyat kepada pemerintah sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara bila mana penjelasan yang perlu dibuat mendedahkan rahsia aset pertahanan negara kepada pengetahuan umum,” katanya pada Jumaat.

Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau dijadikan bahan serangan Rafizi.

“Permainan politik Rafizi amat mudah iaitu dia atau PKR cuba menunjukkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga korup dan tidak layak dipilih pada PRU15,

“Modal fitnah Rafizi adalah kononya terdapt satu laporan forensic oleh Aliance IFA (M) Sdn Bhd (Aliance) kepada Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) yang mengaitkan saya dengan isu LCS,

“Rafizi juga membuat tohmahan bahawa saya mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak pertahanan puluhan juta ringgit dengan Kementerian Pertahanan bagi LCS semasa saya jadi Timbalan Menteri Pertahanan,

“Jadi apa jua perbuatan Zainab, dikaitkan sebagai perbuatan salah laku saya,” ujarnya.

Menurutnya, Rafizi telah menggunakan satu laporan forensik oleh Alliance sedangkan dokumen tersebut hanya merupakan satu deraf yang tidak ditandatangani dan yang tidak dapat disahkan kandungannya.

“Rafizi bukan sahaja tidak jujur, malah dengan sengaja membuat fitnah apabila menyembunyikan fakta bahawa terdapat laporan forensik sebenar yang ditandatangani oleh Alliance yang secara jelas tidak menyebutkan bahawa Zainab ialah isteri kedua saya,” tegasnya.

Beliau sekali lagi menegaskan tidak mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh seperti yang didakwa Rafizi.

Jelasnya, apa juga perbuatan Zainab tidak mempunyai kaitan dengannya dan menjelaskan beliau menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dari 2009 hingga 2013.

Tambahnya, tarikh kontrak LCS kepada BNS dibuat pada 17 Julai 2014 dan beliau tidak memainkan sebarang peranan dalam kontrak LCS.

“Keluarga saya tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan atau pembekalan dengan Kementerian Pertahanan semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply