Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Eksesais MTA MALPHI Laut perkukuh diplomasi pertahanan Malaysia-Filipina

Eksesais MTA MALPHI Laut perkukuh diplomasi pertahanan Malaysia-Filipina

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 29 Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Pemerintahan Armada Timur telah menganjurkan siri latihan ketenteraan bersama Tentera Laut Filipina (TLF) di Pusat Taktikal Maritim (PUSTAKMAR), Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 25 hingga 29 Julai 2022.

Markas Pemerintahan Armada Timur berkata, eksesais bilateral Maritime Training Activity Malaysia-Philippines (MTA MALPHI) Laut siri 23/22 merupakan salah satu pengisian dalam program diplomasi pertahanan di antara kedua tentera laut dalam usaha mengukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan maritim serantau.

“Eksesais tahunan yang dilaksanakan melalui Command Post Exercise (CPX) dengan pendekatan secara olah perang menggunakan fasiliti Action Speed Tactical Trainer (ASTT) di PUSTAKMAR,

“ASTT digunakan secara efektif bagi melatih dan mempertingkat keupayaan pegawai serta anggota TLDM dalam aspek latihan peperangan,

“Dalam eksesais ini, simulasi ASTT memfokuskan kepada peperangan anti permukaan, anti udara dan julung kalinya turut melibatkan simulasi peperangan bawah permukaan seperti bantuan maritime patrol aircraft (MPA) serta anti- submarine helicopter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, MTA MALPHI Laut telah mencapai objektifnya iaitu meningkatkan interoperabiliti dan keupayaan kedua-dua angkatan laut dalam melaksanakan operasi bersama.

“Melalui eksesais ini, TLDM dan TLF dapat bertukar pandangan serta membuka ruang perbincangan bagi pengukuhan hubungan diplomasi pertahanan kedua-dua negara,

“Tidak ketinggalan, ia turut memberi pendedahan senario sebenar peperangan dan berupaya meningkatkan kompetensi warga TLDM serta TLF yang terlibat,” ujarnya.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata, pelaksanaan eksesais ini merupakan salah satu platform dalam mengukuhkan kerjasama pertahanan antara kedua tentera laut.

“Kerjasama sebegini penting bagi mengukuhkan kerjasama maritim dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kestabilan keselamatan serantau,” jelas Sabri.

Turut hadir Commander Fleet-Marine Ready Force Philippine Navy, Brigedier Jeneral Edwin E. Amadar. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply