Home Semasa Polis tahan pasangan suami isteri, dera anak angkat berumur 4 tahun

Polis tahan pasangan suami isteri, dera anak angkat berumur 4 tahun

by Air Times News Network

KAJANG, 23 Jul – Sepasang suami isteri ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan kes dera melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun di sebuah taman perumahan di Beranang, Selangor, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Polis Mohd Zaid Hassan berkata, pasangan terbabit ditahan di rumah mereka pada 2.30 pagi selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 12.14 tengah malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan didakwa dipukul dan dipaksa memakan nasi sehingga termuntah.

“Siasatan juga mendapati kejadian disebabkan kanak-kanak yang dikatakan hiperaktif itu tidak suka makan nasi dan pasangan terbabit memaksanya untuk telan nasi sehingga termuntah,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Katanya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Kajang bagi pemeriksaan dan disahkan mengalami kecederaan dibeberapa bahagian badan.

“Kanak-kanak itu merupakan anak seorang wanita Indonesia dan kelahirannya tidak pernah didaftarkan dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,

“Kanak-kanak itu diserahkan kepada pasangan terbabit pada April lepas kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya,” katanya.

Beliau berkata wanita berusia 28 tahun itu dan suaminya warga Singapura berusia 30-an direman sehingga 28 Julai serta kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.- airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply