Home Semasa Petronas telah lupuskan aset di Azerbaijan, hasil telah dihantar pulang

Petronas telah lupuskan aset di Azerbaijan, hasil telah dihantar pulang

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Jul – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memaklumkan bahawa 2 anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. yang dilaporkan dirampas waris kesultanan Sulu telah dilupuskan.

Petronas dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah melupuskan keseluruhan aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan itu telah dihantar pulang dengan sewajarnya.

“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022,

“Petronas ingin menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah pun dipulangkan dengan sewajarnya,” katanya.

Pada masa sama, Petronas berkata, tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kedudukannya dari segi undang-undangnya mengenai perkara tersebut.

Semalam, Financial Times yang berpangkalan di London melaporkan, pasukan peguam penuntut merampas 2 anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Waris Kesultanan Sulu sebelum ini menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply