Home Semasa Agong berkenan terima menghadap Menteri Luar China

Agong berkenan terima menghadap Menteri Luar China

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Jul – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap dan kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi di Istana Negara, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis menghadap itu adalah julung kali buat Wang Yi yang kini dalam rangka lawatan rasmi 2 hari ke Malaysia bermula semalam.

“Dalam sesi yang berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 11.45 pagi, Seri Paduka Baginda dan Wang Yi telah menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang erat terjalin antara Malaysia serta China sejak 1974,

“Kedua-dua pemimpin turut menyentuh berkenaan usaha pengukuhan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi susulan peningkatan jalinan hubungan Malaysia-China ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013,

“Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian itu tahun depan,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan dan rasa suka cita terhadap hubungan erat Malaysia dan China yang juga telah terjalin secara istimewa di dalam pelbagai aspek.

“Termasuk bantuan yang dihulurkan Kerajaan China dan kerjasama antara kedua-dua negara dalam memerangi penularan COVID-19 serta pemulihan pasca pandemik,

“Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada Wang Yi atas persilaan kepada Baginda untuk mengadakan lawatan rasmi ke China,

“Seri Paduka juga berkenan mempersilakan Presiden China, Xi Jinping untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia. Kali terakhir beliau melawat Malaysia ialah pada tahun 2013,” ujarnya.

Selain itu, Baginda dan Wang Yi dalam sesi menghadap turut menyentuh mengenai projek pelaburan syarikat China di Pahang, khususnya Malaysia-China Kuantan Industrial Park yang terletak di Gebeng, Pahang.

Pada masa sama, Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan China kerana projek itu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi terutamanya di Pahang dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Malaysia (ECER).

“China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009 dan menyumbang 18.9 peratus kepada jumlah dagangan global negara pada 2021,

“Pada masa yang sama, jumlah dagangan China dengan Malaysia mencecah rekod tertinggi sebanyak USD101.55 bilion (RM450.6 bilion) pada 2021,” jelasnya.

Pada 2021 juga, stok pelaburan langsung asing dari China ke Malaysia mencecah RM25.91 bilion. Pada tahun yang sama, pelaburan yang diluluskan dengan penyertaan dari China ialah RM16.6 bilion manakala pelaksanaan pelaburan dengan penyertaan dari China mencecah RM1.82 bilion.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply