Home Politik Zahid Hamidi pengecut, lebih baik bersara awal – Wan Saiful

Zahid Hamidi pengecut, lebih baik bersara awal – Wan Saiful

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jul – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya bersara demi mengembalikan kestabilan politik negara.

Beliau menyifatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjadi dalang kepada perosak kestabilan negara berbanding Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah membuktikan ketokohan beliau apabila tampil memimpin negara menghadapi krisis kesihatan, politik dan ekonomi yang mana menguruskan 3 krisis serentak memerlukan kepimpinan yang berbeza.

“Kelompongan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri diisi oleh Muhyiddin tepat pada masa negara memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian dan keikhlasan seperti beliau,

“Sumbangan Muhyiddin dirasai oleh rakyat secara keseluruhan tanpa mengira bangsa atau agama. Wawasan Kemakmuran Bersama dijadikan agenda utama, dengan niat memastikan kekayaan negara tidak dibolot oleh mana-mana penjenayah, tetapi dikongsi oleh semua,

“Kini Muhyiddin kekal istiqamah membina kembali negara dengan mencari solusi kepada cabaran-cabaran negara melalui Majlis Pemulihan Negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.

Sehubungan itu, Wan Saiful berkata, segala yang dilakukan Muhyiddin itu jauh berbeza dengan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi punca bukan sahaja masalah rasuah serta kleptokrasi yang diwarisi.

Tegasnya, kedua-dua pimpinan itu juga menjadi punca kepada krisis politik yang sengaja dicipta dengan mempergunakan jentera parti, semata-mata untuk menyelamatkan diri.

“Sudah pasti Muhyiddin menjadi sasaran mereka. Selagi Muhyiddin dianggap sebagai negarawan oleh rakyat, selagi itulah hidup dua manusia ini tidak tenteram,

“Kita tolak Najib ke tepi sekejap. Manusia tidak tahu malu ini adalah topik untuk perbincangan lain. Ada sesiapa boleh bagitahu apa jasa Ahmad Zahid kepada negara? Ada sesiapa boleh ingat apa legasi Ahmad Zahid? Ahmad Zahid ini faedahnya apa?,

“Sewaktu Muhyiddin bertungkus lumus membela nasib rakyat, Ahmad Zahid berpeluh di mahkamah. Bukan untuk negara, tetapi sebab dituduh perlakuan jenayah seleweng duit,

“Semasa Muhyiddin bergelumang menyelesaikan masalah rakyat, ada sesiapa ingat apa yang Ahmad Zahid buat untuk faedah rakyat?,” soalnya.

Jadi, katanya, apa sebenarnya faedah wujudnya manusia bernama Ahmad Zahid dalam senario politik Malaysia hari ini?.

Wan Saiful menambah, Presiden UMNO itu juga adalah dalang yang jelas disebalik ketidakstabilan politik negara.

“Ahmad Zahid dalang di sebalik 15 orang ahli parlimen UMNO mengkhianati kerajaan sendiri. Ahmad Zahid dalang di sebalik tekanan kepada Ismail Sabri hari ini. Ahmad Zahid dalang yang pengecut menghadapi pemilihan parti sendiri,

“Ahmad Zahid dalang yang akan terus berkomplot kerana terlalu terdesak mahu menjadi Perdana Menteri. Ada sesiapa percaya bahawa Ahmad Zahid tak akan rebut kuasa dari (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob? Bodohlah sesiapa yang percaya Zahid betul-betul akan pertahan Ismail Sabri,

“Ahmad Zahid dalang yang akan terus berusaha merosakkan kredibiliti Muhyiddin. Selagi rakyat melihat Muhyiddin sebagai negarawan, selagi itulah Zahid kekal sebagai bakal banduan,

“Zahid, kamu manusia gagal yang bercakap pun dah macam orang gila. Kamu liabiliti kepada semua dikeliling kamu kerana fokus kamu hanya mencipta ketidakstabilan,

“Kerja kamu hanya gila mahu mencalarkan ketokohan seorang negarawan. Lebih baik kamu bersara supaya kestabilan kembali kepada negara,” tegasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply