KUALA LUMPUR, 4 Jul – PAS boleh mengambil secara percuma Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bagi mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Tajuddin sudah menjadi liabiliti dan bukannya aset bernilai kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.
“Saya selalu tertarik dengan sikap oportunis PAS setiap kali ada sesuatu yang boleh beri laba dalam politik, mereka terus sambar,
“Minggu lepas, selepas Tajuddin dipecat sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan buat sidang media serta dedahkan isu dalaman, dengan pantas Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria pinang kuda tua UMNO itu,
“PAS berikan laluan kerusi Pasir Salak itu kepada Tajuddin untuk bertanding pada PRU15 nanti atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan mewakili PAS,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai menyatakan, beliau tergelak besar bila baca kenyataan kedua-dua pemimpin PAS itu.
“Memang orang PAS ini sejak dulu lagi suka menangguk di air keruh untuk kepentingan politik biarpun ia serendah level kuda tua,
“Memang tak salahlah saya cop pemimpin dan menteri PAS ni cap ayam. Kalau dah spesis cap ayam jadi mereka akan cari geng yang sama cap ayam,” ujarnya.
Katanya, Tajuddin memang tidak layak lagi bersama UMNO kerana suka perlekehkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Sebab sekarang ini pun Tajuddin hanya liabiliti dan tak bawa keuntungan apa pun kepada UMNO,
“Individu yang suka perlekehkan presiden sendiri, suka memalukan parti sendiri memang tak layak lagi bersama UMNO,
“Orang macam ini sudah tak boleh dipercayai sama macam pemimpin PAS yang rakyat terutamanya pengundi Melayu Islam sudah tak percaya lagi dengan macam-macam retorik politik dan penunggang agama selama ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih baik Tajuddin terjun bersama labu-labu sayongnya dan hanyut di Sungai Pasir Salak bersama PAS.
“Saya yakin UMNO pun akan rasa lega dan tak akan rugi apa-apa kalau Tajuddin tinggalkan parti dan mahu bersama PAS,
“Sekurang-kurangnya UMNO dan BN Pasir Salak boleh beri laluan serta peluang kepada kepimpinan muda di kawasan itu untuk menjadi calon pada PRU15 nanti,” tegasnya.
Tegasnya, sudah tiba masanya UMNO dan BN Pasir Salak untuk melakukan reformasi kepimpinan dan mungkin bahagian ini akan jadi contoh terbaik kepada permulaan proses peremajaan UMNO.
“Tajuddin pun sudah lebih dua dekad jadi Ahli Parlimen Pasir Salak dan macam-macam jawatan dari menteri ke pengerusi GLC hinggalah kepada Duta Khas. Jadi cukuplah tu. Bagilah peluang orang lain nak merasa jadi Ahli Parlimen pula,” ujarnya lagi. – airtimes.my