Home Semasa 6 saintis muda wakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-71

6 saintis muda wakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-71

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Enam saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 yang akan berlangsung di Lindau, Jerman bermula hari ini hingga 1 Julai depan.

Mesyuarat yang akan dilaksanakan secara fizikal itu turut disertai kira-kira 600 saintis muda lain dari seluruh dunia.

Mereka ialah Dr Enis Nadia Md Yusof, Dr Goh Choon Fu, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman dan Dr Oh Wen Da dari Universiti Sains Malaysia (USM), selain Dr Sazlinda Kamaruzaman dari Universiti Putra Malaysi (UPM) dan Dr Low May Lee dari International Medical University Malaysia (IMU).

Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail berkata, Malaysia ketika ini telah menghantar 81 saintis muda mengambil bahagian dalam mesyuarat berkenaan sejak ia mula diperkenal pada tahun 2004.

“Mesyuarat ini adalah platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik negara bagi membina jaringan dengan saintis terbaik di peringkat antarabangsa,

“Selain dapat bertemu penerima Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat ini memperkenalkan penyelidikan saintis muda kita kepada mereka dan seterusnya mungkin membuka peluang untuk bekerjasama dengan saintis berkenaan di makmal bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Nobel ke-71 tahun ini didedikasikan untuk bidang kimia dan dianggarkan sejumlah 35 pemenang Anugerah Nobel akan menyertainya dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua peserta.

Pencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel itu dibuka kepada semua saintis muda institut pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara setiap tahun yang dikendalikan oleh ASM, iaitu agensi seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Sebanyak 25 pencalonan telah diterima bagi tahun ini, yang mana saringan awal dilakukan ASM dan seterusnya diputuskan ahli jawatankuasa Mesyuarat Nobel untuk pemilihan,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply