Home Semasa Didakwa jadi tempat edar dadah: Polis serbu 249 pusat hiburan diseluruh negara

Didakwa jadi tempat edar dadah: Polis serbu 249 pusat hiburan diseluruh negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas sebanyak 5,135.57 gram (g) pelbagai jenis dadah dan 450 liter (ltr) cecair dadah dalam serbuan yang dijalankan di pusat hiburan di Kuala Lumpur.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, selain dadah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut menahan 150 orang dalam 124 kes dengan pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain di ibu negara, Noorsiah menjelaskan, pihak polis juga telah membuat serbuan pusat hiburan di seluruh negara dengan merampas sebanyak 9,208.84 g pelbagai jenis dadah dan 450 ltr cecair dadah.

“Sebanyak 449 kes dengan 504 orang berjaya ditangkap di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah akta yang sama,” jelasnya dalam kenyataan pada Ahad.

Noorsiah menjelaskan, pihaknya mengambil maklum terhadap pendedahan oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Kominiti Malaysia (MCCC) mengenai senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara.

Jelasnya, PDRM sentiasa mengambil tindakan terhadap aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara.

“Sebanyak 55 serbuan pusat hiburan telah dijalankan di Kuala Lumpur bagi Januari hingga Jun 2022,

“Manakala sebanyak 194 serbuan yang sama telah dijalankan di seluruh negara bagi tempoh tersebut,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, PDRM sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan ke atas laman sosial atau aplikasi yang dikesan mengiklankan aktiviti persundalan.

Tambah Noorsiah, pihaknya sentiasa berkerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) untuk memantau laman sesawang internet bagi menyekat aktiviti sedemikian.

“PDRM terbuka untuk menerima sebarang maklumat aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta mengalu-alukan kerjasama dari mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN ditalian 012-2087222,” ujarnya. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply