MANILA, 20 Jun – Bakal Setiausaha Pertahanan Filipina, Jose Faustino Jr. menegaskan beliau akan pertingkatkan keupayaan ketenteraan negara kepulauan republik itu.
Beliau akan memegang portfolio penting kerajaan Filipina itu mulai 13 November ini.
“Keselamatan negara adalah sinonim dengan keselamatan manusia. Sebab itu kita akan lakukan dengan penuh terbaik dalam program Jabatan Pertahanan Negara dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan Filipina,” katanya seperti dilaporkan oleh agensi media PNA.
Tegasnya, beliau akan melindungi hak asasi manusia dan juga undang-undang antarabangsa. Selain daripada itu, Jose menyatakan pihaknya akan menangani masalah dalaman Filipina di samping memastikan semua wilayah negara itu kekal dalam pegangan Manila.
Jose menambah, fokus yang akan diberikan adalah selari dengan hasrat bakal Presiden Filipina, Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr yang mahukan negara itu menjadi kuat dan lebih baik.
Pada ketika ini, Filipina sedang memasuki fasa kedua modenisasi yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2013.
“Kita kini sedang berada di ambang fasa ketiga pelan modenisasi Angkatan Tentera Filipina. Ini bagi membina satu angkatan tentera yang kukuh serta kredibel,
“Selain daripada itu, kita mahu mempertingkatkan tahap keupayaan pertahanan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jose menyatakan pihaknya akan meneruskan usaha kerajaan Duterte untuk menamatkan ancaman komunis dan juga konflik dengan kumpulan bersenjata tempatan.
Jose Calingasan Faustino Jr merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Filipina dan bersara dari perkhidmatan pada 12 November tahun lalu. – airtimes.my
