Home Pertahanan dan Keselamatan KD LEKIR sertai kumpulan pelayaran kapal perang multinasional ke Hawaii

KD LEKIR sertai kumpulan pelayaran kapal perang multinasional ke Hawaii

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD LEKIR telah melaksanakan pelayaran ke Hawaii bersama 4 buah kapal perang dari negara-negara jiran dan India.

Pelayaran kelima-lima kapal tersebut dilakukan secara berkumpulan dan dikenali sebagai Kumpulan Pelayaran Multinasional (Multinational Group Sail, MNGS).

Kementerian Pertahanan Singapura dalam hantaran di akaun media sosial rasminya menyatakan kapal tentera laut negara itu telah menyertai MNGS di Lautan Pasifik pada 16 hingga 18 Jun lalu.

Menurutnya, kapal Tentera Laut Republik Singapura, RSS INTREPID telah melaksanakan beberapa siri latihan bersama kapal-kapal lain.

“Kesemua kapal yang terlibat dalam pelayaran ini telah melakukan beberapa siri latihan termasuk pergerakan pelayaran (manoeuvring) dan komunikasi,” katanya.

Latihan dijalankan semasa kesemua kapal terbabit melaksanakan pelayaran dari Guam ke Hawaii.

Tambah Kementerian Pertahanan Singapura, pelayaran sebegini adalah penting bagi mempertingkatkan keupayaan dan hubungan profesional antara angkatan laut yang terlibat.

Pelayaran multinasional ini melibatkan kapal perang dari negara yang menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022.

RIMPAC 2022 merupakan penyertaan kedua yang melibatkan kapal TLDM.

Penglibatan KD LEKIR pada kali ini merupakan satu detik bersejarah buat negara dan TLDM kerana diberikan penghormatan untuk melakukan penembakan peluru berpandu anti permukaan EXOCET semasa RIMPAC 2022.

Penembakan tersebut akan dilakukan semasa segmen SINKEX dijalankan.

RIMPAC merupakan latihan peperangan maritim berskala besar anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat. Eksesais ini akan berlangsung mulai akhir Jun sehingga awal Ogos 2022. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply