Home Semasa Agensi kerajaan, swasta digesa pertingkat perlindungan data peribadi

Agensi kerajaan, swasta digesa pertingkat perlindungan data peribadi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menggesa agensi kerajaan serta swasta untuk mempertingkatkan keselamatan dan perlindungan data peribadi yang dimiliki agensi masing-masing.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, gesaan itu selaras dengan Arahan MKN No 26: Pengurusan Keselamatan Siber Negara, yang mengarahkan semua agensi dan organisasi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) memastikan perlindungan optimum terhadap aset maklumat kritikal yang telah dikenal pasti, daripada sebarang ancaman.

Beliau berkata, notis berhubung perkara itu yang bertarikh 13 Jun 2022 dikeluarkan Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara untuk tindakan agensi dan organisasi CNII bagi amalan pencegahan ketirisan data.

“Semua agensi kerajaan, terutamanya Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sentiasa berganding bahu untuk memastikan keselamatan siber dan keselamatan data peribadi awam berada pada kedudukan yang terbaik,

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana entiti yang menggugat keselamatan siber negara, termasuk keselamatan data peribadi awam dan akan terus memastikan kawalan di tahap yang maksima,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam kenyataan yang sama, Rodzi turut menggesa orang ramai unuk sentiasa berwaspada dan mengamalkan amalan terbaik keselamatan siber bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber.

“Laporkan segera sebarang maklumat berkaitan pelakuan jenayah siber kepada pihak berkuasa untuk tindakan penguatkuasaan,” jelasnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply