[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=N7zcHTmELOw[/embedyt]
PORT DICKSON, 22 Mei – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, masih ramai rakyat Malaysia yang berminat untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata, setiap tahun ramai permohonan yang dibuat untuk menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai kerjaya.
“Untuk penyertaan anggota TDM ini, tidak kira pegawai atau anggota, sama ada dalam situasi pandemik COVID-19 memang beribu yang memohon,
“Secara rumusan, warga Malaysia masih lagi berminat untuk berkhidmat dalam ATM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TDM Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21, pada Sabtu.
Zamrose berkata, kebanyakan rakyat Malaysia yang mahu berkhidmat dalam ATM adalah demi untuk mempertahankan kedaulatan negara.
“Jangan sampai ada rakyat Malaysia seorang pun tidak masuk masuk askar dan akan menjadi masalah,” ujarnya.
Selain itu, Zamrose berkata, TDM mempunyai Askar Wataniah (AW) dan sukarela yang akan menjadi pelapis kepada anggota tetap.
Pada masa sama, Zamrose berkata, TDM tidak menahan, malah mengalakkan agar lebih ramai anggotanya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Walaupun ada anggota yang masuk dengan kelulusan SPM, tetapi mana-mana anggota yang ingin melanjutkan pelajaran, kita sediakan keperluan tersebut, kalau kita tengok dia layak mereka boleh menyambung pelajaran secara sepenuh masa ataupun pendidikan jarak jauh (PJJ,” jelasnya.
Semalam, seramai 2,497 perajurit muda berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat pada acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Pada majlis tersebut, Perajurit Muda Mohamad Nor Farhan Mahzal berasal dari Segamat, Johor dianugerahkan Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik dan anak kelahiran Terengganu, Nur Syafiqah Liyana Mohd Nor pula merangkul Perajurit Muda Wanita Terbaik.
Perajurit Muda Lelaki Ketenteraan Terbaik pula disandang anak kelahiran Ipoh, Perak iaitu Muhammad Aminur Rasyid Mat Radzi.
Turut dianugerahkan Perajurit Muda Lelaki Kawad Terbaik adalah Aiman Ruzzaini Romzi yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Manakala anugerah Perajurit Muda Lelaki dan Wanita Akademik Terbaik pula disandang oleh Nelson Jemis dari Ranau, Sabah dan Nur Farah Huda Azman berasal dari Ipoh, Perak. – airtimes.my