Home PolitikPakatan Harapan Ong Kian Ming umum tidak bertanding PRU-15

Ong Kian Ming umum tidak bertanding PRU-15

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan tidak akan menawarkan diri saya sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, langkah untuk berehat daripada barisan hadapan politik DAP ini bagi membuka lebih banyak pintu kepada pemimpin muda dalam parti mengambil alih tampuk kepimpinan.

“Ramai di antara anda semua mungkin tertanya-tanya sebab di sebalik keputusan saya untuk tidak menawarkan diri sebagai calon dalam PRU15,

“Walaupun keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan saya untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukanlah sebab utama untuk keputusan ini.

“Ketika saya mula-mula ditawarkan untuk menjadi calon bagi kerusi parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya,” katanya.

Menurutnya, menjelang penghujung penggal kedua ini, beliau percaya bahawa telah memberikan yang usaha yang sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara.

Mengulas lanjut, Kian Ming, 46, berkata, beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu.

“Saya menggesa semua ahli dan pemimpin parti untuk menunjukkan sokongan penuh mereka kepada Anthony dan peranan yang akan dipikul beliau dalam menerajui parti dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRU-15,

“Saya percaya Anthony dan barisan pimpinan DAP akan terus memberikan peluang kepada ahli dan pemimpin yang lebih muda untuk berkhidmat kepada parti dalam pelbagai kapasiti termasuk untuk diletakkan sebagai calon dalam PRU-15,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan parti sebagai calon di Parlimen Bangi dalam PRU-15 nanti.

“Sementara itu, saya akan meneruskan tanggungjawab khidmat rakyat saya di Bangi dan dalam parti sehinggalah parlimen dibubarkan,” jelasnya.

Katanya, beliau belum bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu dan bersedia untuk berkhidmat kepada parti dan negara pada masa hadapan jika khidmat diperlukan. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply