Home Semasa Dana tambahan RM15 juta diluluskan, kenal pasti dan pantau varian SARS-CoV-2

Dana tambahan RM15 juta diluluskan, kenal pasti dan pantau varian SARS-CoV-2

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah meluluskan dana tambahan sebanyak RM15 juta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membiayai projek genomic surveillance virus SARS-CoV-2.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, projek yang memasuki fasa 3 itu amat penting dan strategik bagi mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 di negara ini terutama Omicron dan Delta.

Beliau berkata, sebanyak konsortium 11 buah makmal yang diselaraskan oleh Institut Genom dan Vaksin Malaysia-Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (MGVI-NIBM) mensasarkan untuk menjujuk sebanyak 15,000 tambahan genom virus tersebut.

“Sehingga 27 April 2022, sejumlah 15,565 sampel telah dijujuk, dianalisis dan maklumat genom virus SARS-CoV-2 berkenaan telah dimuat naik ke pangkalan data Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data (GISAID),

“Taburan varian-varian utama virus SARS-CoV-2 di Malaysia adalah 7,245 sampel atau 46.55 peratus dikenal pasti sebagai varian Delta; 6,374 sampel (40.95 peratus) Omicron; 283 sampel (1.82 peratus) Beta dan 33 sampel (0.21 peratus) Alpha,

“Sampel-sampel ini dipilih oleh pihak KKM dan diambil dari semua negeri di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Adham menjelaskan, maklumat berkenaan SARS-CoV-2 penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus bagi mengawal dan membendung penularan varian tersebut.

Tambahnya, apabila virus SARS-CoV-2 bermutasi, varian baharu yang muncul mungkin mempunyai keupayaan yang berbeza termasuk dari segi kebolehjangkitan, keterukan gejala, ketepatan ujian diagnostik dan keberkesanan vaksin serta terapeutik.

“Sebagai contoh, kajian telah menunjukkan bahawa varian Omicron pada masa ini mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi tetapi dengan gejala yang kurang teruk berbanding dengan varian Delta,

“Ini disebabkan oleh mutasi yang menyebabkan perubahan dalam mekanisme virus itu untuk menjangkiti sel manusia,” ujarnya.

Menurut Dr Adham, pengesanan varian yang baru muncul akan memerlukan 4 sampel yang lebih besar dan kadar genomic surveillance yang lebih tinggi berbanding pengesanan varian yang telah merebak dengan meluas.

Oleh itu, kadar genomic surveillance ini secara langsung berkait dengan keupayaan pengesanan awal VOC baharu dan pengawalan klusterkluster baru.

“Pada masa ini, kadar genomic surveillance bagi negara kita masih kurang daripada 1%, walau bagaimanapun Fasa 3 ini adalah sebahagian dari usaha positif bagi mencapai sekurang-kurangnya 1% kadar genomic surveillance seperti mana yang disasarkan oleh kerajaan,

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, MOSTI melalui usaha sama MGVI-NIBM dan agensi atau institut di bawah seliaan kementerian berkaitan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terus menerajui bidang R&D genom bagi menyokong agenda kesihatan nasional, seterusnya sekuriti kesihatan rakyat Malaysia dalam memerangi penyakit berjangkit, terutamanya COVID-19 dapat diperkasakan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply