Home Semasa Ops Hari Raya: 35,618 kenderaan dikesan melebihi had laju – JPJ

Ops Hari Raya: 35,618 kenderaan dikesan melebihi had laju – JPJ

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 7 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengesan sebanyak 35,618 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) sepanjang 7 hari pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) sehingga semalam.

JPJ menerusi hantaran di laman Facebook rasminya malam tadi memaklumkan sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 4.7 juta buah kenderaan telah dikesan dan direkodkan kamera AwAS di lebuhraya seluruh negara sepanjang 7 hari operasi berkenaan dijalankan bermula 29 April lalu.

Menurut JPJ juga, sebanyak 1.5 juta buah kenderaan telah melalui kamera AwAS di lampu isyarat dengan 10,355 kenderaan direkodkan melanggar lampu isyarat merah bersamaan 0.66 peratusan ketidakpatuhan.

“Kesalahan tidak mematuhi had laju dan melanggar lampu isyarat melalui Kamera AwAS ini merupakan antara 5 kesalahan utama dalam tempoh Ops HRA 2022 yang akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun,

“Sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 di bawah Seksyen 79, Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pengguna jalan raya yang melanggar kedua-dua kesalahan ini juga akan direkodkan dengan tindakan sehingga 4 mata demerit berjadual di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) bagi setiap kesalahan mengikut Subseksyen 40(1) atau Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan.

“Sistem mata demerit ini akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu,” tambah JPJ.

Sebanyak 45 Kamera AwAS telah beroperasi sepenuhnya membabitkan 29 kamera bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju, manakala 16 kamera lagi bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

“Objektif akhir pelaksanaan kamera AwAS adalah bertujuan untuk meningkatkan pematuhan terhadap hadlaju dan lampu isyarat serta mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, JPJ turut menyeru kepada semua pengguna jalan raya seluruh negara untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua seterusnya mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Tegasnya, penguatkuasaan secara pengesanan teknologi digital ini telah menjadi amalan antarabangsa yang terbukti efektif dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta akan dapt meningkatkan reputasi negara setaraf dengan negara-negara maju yang lain. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply