Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat gagalkan cubaan seludup keluar kenderaan, usir 3 PATI

Tentera Darat gagalkan cubaan seludup keluar kenderaan, usir 3 PATI

by Nurulhuda

LUNDU, 5 Apr – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menghalang cubaan menyeludup keluar kenderaan oleh warga tempatan dan pengusiran 3 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam 2 serbuan berasingan pada Jumaat lalu.

Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata, anggota seksyen yang sedang melaksanakan rondaan telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Proton Exora dalam keadaan mencurigakan di kawasan Ladang Sawit Rimbunan, kawasan Pos Kandaie iaitu 50 meter dari sempadan Malaysia – Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dipandu oleh seorang warga tempatan dan tidak mempunyai cukai jalan yang sah. Kenderaan tersebut juga dipercayai untuk diseludup keluar dan dijual di Indonesia,

“Nilai rampasan kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM45,000. Manakala, warga tempatan berusia 28 tahun itu bersama kenderaan yang dirampas telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Warga tempatan berusia 28 tahun yang ditahan bersama kenderaan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, anggota ronda telah terserempak dengan 3 individu mencurigakan di sekitar kawasan Ladang Kelapa Sawit Rimbunan, kawasan Pos Kandaie iaitu 300 meter dari sempadan Malaysia – Indonesia.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati individu tersebut yang terdiri daripada 3 lelaki berusia sekitar 38 hingga 41 tahun merupakan warga Negara Indonesia yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,

“Tiada rampasan dibuat dan kesemua PATI tersebut telah dibuat pengusiran dan diserahkan kepada Tentera Negara Indonesia (TNI) dari Pos Kumba Semunying,

“Manakala, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Lundu,” tambahnya.

Pihak 1 Div turut menjelaskan, TDM terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply