SANDAKAN, 9 Feb – Seramai 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina telah dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI, pada Rabu.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kesemua PATI yang dipindahkan terdiri 145 lelaki, 31 wanita dan 24 kanak-kanak.
Jelasnya, semua tahanan PATI yang terlibat pada kali ini hanyalah melibatkan tahanan warga Filipina dari di Depot Imigresen Papar sahaja.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,
“Kesemua tahanan diusir melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, menggunakan feri MV Antonia 1,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut SH Siti Saleha, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan terakhir iaitu pengusiran keluar dari negara ini,” jelasnya lagi.
Oleh itu, semua warga asing diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah, Malaysia.
“Agensi penguatkuasaan di Sabah sentiasa bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang di negara ini,
“JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal,” tambahnya lagi. -airtimes.my