Home Pertahanan dan Keselamatan 26 PATI lagi ditahan dalam Operasi Benteng, semalam

26 PATI lagi ditahan dalam Operasi Benteng, semalam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Seramai 26 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta penularan wabak COVID-19 di negara, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, pasukan keselamatan juga telah merampas 10 buah kenderaan darat serta 4 buah bot atau kapal dalam operasi tersebut.

“Dalam operasi tersebut juga, pihak berkuasa turut mengesan 115 buah bot atau kapal di perairan melalui 5 aktiviti penglihatan,

“Selain itu, 7 orang PATI turut diusir menerusi 2 aktiviti pengusiran,” katanya dalan kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Melalui Op Benteng semalam juga, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 262 Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Op Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA telah melaksanakan sebanyak 202 SJR, Op Benteng PDRM (51 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” ujarnya.

Sementara itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM pula telah menahan 52 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

“Daripada jumlah itu, 36 dikompaun, dan 16 telah direman.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (12); tiada penjarakan fizikal (12); tidak memakai pelitup muka (11); premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (11); gagal menyediakan peralatan atau merekod diri dan pelanggan (3) dan aktiviti perjudian (3),” ujarnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply